Followers

Pengunjung Blog

Powered by Blogger.

Music 3

Apakah Ianya Seperti Biduk Berlalu, Kiambang Bertaut?

Selamat bersua kembali!

Sudah menjadi kebiasaan aku, sebagai seorang blogger dan juga sebagai seorang peniaga kecilan, aku hanya menukilkan apa yang perlu setelah adanya semangat untuk menulis. Tidak semua yang tebayang di dalam benak ini sesuai untuk dinukilkan pada bila-bila masa. Pastinya ianya memerlukan ilham yang lebih untuk menulis, menjadikan penulisan itu lebih berketerampilan dan menyentuh perasaan pembaca.

Apa yang diharapkan, seperti biasa blog khusus aku ini ialah tempat aku menukilkan perasaan dan harapan setelah kepenatan memerah otak untuk memikirkan itu dan ini dalam usaha mencari sedikit rezeki yang halal untuk diri dan juga keluarga. Kalau diikutkan rasa, aku sentiasa tidak mempunyai ruang waktu untuk keluarga tersayang dan diri sendiri, setiap hari sama sahaja, sentiasa sibuk memikirkan soal dunia. Maka aku telah menanamkan satu iltizam sudah sejak sekian lama untuk mencuba sedaya upaya aku melapangkan sedikit waktu untuk tujuan itu.

Syukur Alahamdulillah, Allah memperkenankan doa aku yang membolehkan aku mengetuk kebod ini sekali lagi. Mudah-mudahan juga, setelah terpaparnya nukilan ini, akan membuatkan minda aku kembali segar dengan idea-idea yang baru setelah sekian lama terbuku.

Kisah aku kali ini masih lagi berkisar berkenaan dengan hubungan aku dan bapa angkat aku.

Telah agak lama aku tidak ke Pasir Tumbuh untuk menjenguknya. Bukan niat untuk tidak mahu menjenguk. Aku sentiasa ada masa terluang dan aku terlalu amat ingin menjenguknya. Namun masalah bapa angkat aku terlalu beremosi telah memungkinkan aku membatalkan hasrat aku untuk melawatnya buat seketika waktu. Kepingin sekali sebenarnya!

Bermulanya ialah dengan kerenahnya menyalahkan aku kerana dikatakan aku terlalu mencungkil rahsia keluarganya yang telah menyebabkan dia terlalu berkecil hati. Aku telah faham segalanya dan bukan niat aku untuk mencungkil segalanya. Aku rahsiakan cerianya dan peristiwa tersebut. Biar aku sahaja yang mengetahui, hatta isteri aku pun tidak pernah aku luahkan.

Lantaran daripada itu dia terlalu memarahi aku sehinggakan dia sanggup menghantar sms mengatakan itulah SMS yang terakhir yang dia akan berhubungan dengan aku. Marah sungguh dia kepada aku. Akan tetapi, dia tidak pernah langsung mengatakan untuk memutuskan hubungan kekeluargaan dengan aku. Aku bersyukur sebanyaknya kerana perkara itu tidak terluah darinya dan aku pada ketika itu cukup yakin yang bapa angkat ini hanya memarahi aku. Tidak lebih dari itu.

Lantas aku seperti biasa, bersifat "cool" sahaja. Aku langsung tidak mempedulikan marahnya. Malahan aku terus menerus menghantar sms dengan memeberitahu beberapa perkara dan peristiwa berkaitan dengan perniagaan aku. Aku seolah-olah seperti tidak pernah mengetahui akan sms yang dihantarnya. Menjadi rutin aku semenjak aku mengenali beliau, aku selalu melaporkan seboleh mungkin berkaitan dengan perancangan, kejayaan dan juga permasalahan yang aku dan keluarga aku alami. Aku betul-betul menghormati orang tua ini sebagai bapa, suka dan duka aku luahkan kepadanya.

Kalau diikutkan marahnya, memang aku tak mungkin ke Pasir Tumbuh lagi. Sekali lagi, seperti biasa aku berjumpa beberapa kenalan baru aku di Masjid Zainal Abidin (Masjid Negeri Terengganu) sewaktu Magrib dan Isya' mahu pun Subuh. Rakan-rakan atau kenalan aku itu adalah dari kalangan yang berumur seperti bapa angkat aku ini jua. Lingkungan umur lewat 60an. Ada juga yang yang hampir senasib dengan bapa angkat aku ini, hidup sebatang kara di usia emas ini. Kadang-kadang bergenang juga air mata ini bila mengenangkan perihal warga emas ini menguruskan diri bersaorangan. Terus menerus berlinang air mata aku teringat akan bapa angkat aku yang seorang itu. Susah payah dan sakit demamnya. Namun itu hanyalah telahan aku, walhal bapa ini seperti biasa sahaja. Sering kali dia memarahi aku supaya tidak mempedulikan cara mana dia menyarakan dirinya sendiri. Itulah masalahnya pada aku perihal orang tua ini.

Lantas aku berkongsi masalah dengan warga emas tersebut. Seperti biasa, orang yang banyak pengalaman hidup. Mereka tetap menyuruh aku melawat bapa angkat aku ini dan jangan mempedulikan marahnya. Kata mereka lagi, dan mereka semua yakin sekiranya aku kembali menjenguh bapa angkat aku ini, dia mesti menerima aku seadanya. Tidak akan dimarahinya.

Mengambil sepenuhnya nasihat mereka tersebut aku telah mengotakan janji diri sendiri dengan mengambil langkah berani sambil bertawakkal sepenuhnya kepada Allah mengunjungi bapa angkat aku tanpa sedikit pun memberitahunya terlebih dahulu, hatta mahupun sms. Tanggal 20 haribulan April yang lalu aku telah memandu menuju ke Pasir Tumbuh bertemankan anak bujang aku. Sungguh berdebar-debar aku, mengenangkan bertapa susah payah aku ini diakhiri dengan kekecewaan manalah tahu kalau2 kehadiran aku tidak diterima langsung oleh bapa angkat aku. Bermacam-macam kaedah dan cara serta "plan" yang bermain di dalam benak aku bagi menyakinkan kedatangan aku ke Pasir Tumbuh atau ke rumah orang tua ini diterima sepenuhnya tanpa sebarang halangan. Takut sungguh aku! Pelabgai doa aku bacakan agar Allah tenangkan fikiran dan diri ini.

Dipermudahkan cerita, pada sekitar jam 5:45 petang aku sampai di Pasir Tumbuh, betul-betul didepan rumah bapa angkat aku. Terperanjat juga aku apabila melihatkan pagar terbuka luas menandakan memang orang tua ini tiada di rumah. Aku dapat menelah yang orang tua ini semestinya sedang minum petang di warung yang selalu dikunjunginya selepas menunaikan solat asar. Namun aku menjadi berdebar-debar. Aku hantarkan sms bertanyakan di mana dia berada dengan memberitahu yang aku sedang berada di depan rumahnya. Tidak juga dijawabnya. Lantas aku membuat rondaan ke arah "pot" yang aku maksudkan. Aku yakin bapa angkatku berada di situ kerana keretanya jelas sekali dipakirkan di situ. Aku tidak terus menghampiri warung tersebut. Cukup sekadar meninjaunya dari jauh. Memang tepat sekali tanpa diragui lagi.

Lalu aku kembali semula ke depan rumah dengan mengharapkan bapa angkat ini telah sedia untuk balik ke rumah. Setelah hampir 20 minit berlalu, harapan aku menjadi pudar. Tidak juga pulang-pulang. Lantaran itu, aku menelefonnya semula. Ada nada deringnya, namun tidak berjawab. Aku mula merasakan sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Lantas sekali lagi bertekad untuk terus saja ke warung itu tanpa ada rasa takut lagi. Hanya satu saja tujuan aku ketika itu iaitu untuk melihatnya dari dekat di samping ingin sekali memulangkan sample baju Melayu dan Jubah yang aku pinjam.

Sampai saja aku di depan warung tersebut, aku terus sahaja menurunkan tingkap kereta, namun bapa angkat ku agak tergaman kerana memang dia tidak menyangka aku datang dengan kereta  Proton Perdana V6. Sebab aku hanya memandu proton Wira sahaja selalunya. Setelah melihat wajahnya hati aku terus merasa sejuk. Jauh sungguh berubah wajahnya. Berseri-seri. Tanpa aku menjangkakan. Lantas aku menyapanya. "Mengapa daddy tak membuka sms? Saya ada hantar mesej sekejap tadi". Selamba saja jawabnya "Tak perasan, sebab silen kot". Terus sahaja dia menyeluk henfon nya di dalam poket jubahnya. Dalam waktu yang sama kawannya di sebelah menyapa dan mempelawa aku untuk minum sekali. Namun aku memberitahunya yang aku ingin berjumpa dengan "daddy" di rumah. Lantaran itu aku berkata kepada bapa angkat agar aku terus saja ke rumah dan ingin berjumpa di rumah.

Pada ketika itu, aku tidak langsung melihat yang bapa angkat aku ini marah atau menolak pelawaan aku ke rumahnya, malah seolah dia terlalu ingin sekali berjumpa aku. Aku menunggu sahaja kepulangannya di rumah. Sesampainya di rumah, aku dan anak aku menyusul. Salam diberi dan tangan bersambutan, aku terus sahaja memeluk orang tua itu dengan penuh hormat. Terasa hiba sekali. Dia mempelawa aku duduk.

Aku seakan tidak pasti apa yang aku ucapkan. Aku tergamam. Kata ku padanya secara sepontan "Bersihnya wajah daddy, putih dan berseri, terlalu banyak berkurung kot?" Sapa aku padanya. Namun sapaan aku seolah-olah tidak didengarinya.

Tidak banyak celoteh aku sewaktu itu. Aku hanya menyatakan kedatangan aku tidak lebih dari untuk melihatnya secara dekat setelah sekian lama dia tidak berhubungan dengan aku dan keluarga aku di samping untuk menghantar baju serta jubah serta satu set lesung batu yang telah lama dipesannya. Bercerita sejenak dengannya sementara menunggu masuknya waktu Magrib.

Setelah aku melihat yang dia dapat menerima kedatangan aku dengan baik sekali, lantas aku meminta kebenarannya untuk bermalam bersama-sama anak aku di situ. Memang tidak dihalangnya lantas aku menyuruh anak aku mengambil beg pakaian dan terus naik ke bilik. Sambil anak bujang aku mengemaskan barang-barang ke dalam bilik, aku sempat menceritakan akan sedikit permasalahan berkaitan dengan anak bujang aku dan memintanya memberi nasihat sebagai atuk kepada cucu.

Lalu tanpa bercerita panjang, dia memang tiada bermasalah untuk bercerita dan memberi nasihat sebaik mungkin kepada cucunya. Aku hanya mendengar tanpa menyampuk. Terlihat reaksi anak bujang aku yang agak sedikit tidak selesa. Memang menjadi lumrah. Siapalah yang sudi menelan bulat2. Aku menjadikannya tempat rujuk kerana aku tahu yang dia mempunyai latarbelakang anak-anak yang agak baik. Aku menceritakan kepada anak bujang aku yang atuk mempunyai anak yang menjadi doktor dengan harapan agar nasihat atuk itu adalah nasihat yang betul.

Kami bercerita sehinggalah waktu untuk ke masjid tiba. Orang tua ini kena berbegas awal ke masjid kerana dia menjadi bilal dan aku memahaminya. Lantaran itu dia menghulurkan kunci spare yang biasa aku gunakan dan berpesan kepada aku untuk pergi ke masjid dengan anak aku. Setelah mandi, aku dan anak aku terus ke masjid dan di sana seperti biasa, jemaah dihidangkan dengan kuliah maghrib. Setelah selesai solat Isya, aku menjemput bapa angkat ini untuk sama-sama makan malam. Diterimanya pelawaan aku tanpa sebarang alasan malah aku melihat yang dia memang terimanya dengan amat baik sekali. Selesa sungguh aku, tidak dapat aku gambarkan.

Sewaktu mengambil pesanan makanan, aku melihat dia terus menerus memberi nasihat kepada anak aku tanpa henti dan jemu. Pelbagai. Setelah selesai makan kami kembali kerumah. Seperti biasa dia selalu tidur awal. Aku pun tidur awal kerana kepenatan.

Esoknya tepat jam 4:30 pagi aku terus terjaga seperti biasa. Aku sembahyang sunah apa yang patut. Namun aku tidak pernah mendengar yang bapa angkat aku ini bangkit untuk bertahajjud sehinggalah sehingga beberapa minit waktu subuh hampir masuk. Aku tidak kisah. Aku menjangkakan yang dia memang kepenatan.

Waktu subuh menjelang tiba, aku bersamanya menuju ke masjid menaiki kereta aku. Setelah solat subuh, kami terus pulang ke rumah. Daddy memberitahu yang dia terpaksa bergegas ke Kota Bharu dengan kawannya untuk menghadiri kelas Tasauf. Aku pernah mendengar satu ketika dulu yang dia ingin mengikuti kelas itu. Dan dia berpesan kepada aku agar membeli sarapan pagi kepada anak aku sendirian. Aku mengiakan sahaja.

Jam hampir 10:30 pagi, baru perut aku rasa lapar dan aku baru sahaja tergerak untuk keluar mencari apa yang patut untuk mengisi perut serta dalam usaha untuk pergi ke Kota Bharu untuk membeli ketayap. Di waktu itu aku melihat daddy sedang berjalan menuju ke rumah setelah kembali pulang dari kuilah Tasauf. Lantas aku meminta izinnya.

Setelah selesai membeli kopiah yang dipesan, aku kembali semulah ke rumah daddy dan sampai dirumah sekitar pukul 12:00 tengahari. Kami sempat lagi sembang-sembang. Sungguh seronok sekali. Daddy seolah-olah tidak mahu langsung mengimbau akan saat-saat kemarahannya kepada aku sebelum ini. Bercerita seadanya dengan aku seperti biasa. Setelah hampir masuk waktu zohor, daddy terpaksa ke masjid untuk bersiap mengazankan waktu zohor. Aku pergi bersendirian selepas dari itu.

Setelah selesai, aku sekali lagi menjemputnya untuk makan tengahari. Dia mengajak aku ke sebuah restoran. Sambil menjamu selera, dia menceritakan yang dia akan terus memberi nasihat kepada anak bujang sulung aku. Aku terharu mendengar kesediaannya. Memang betul-betul jangkaan aku meleset sama sekali. Daddy langsung tidak menunjukkan rasa marahnya. Tiada langsung. Aku amat berpuas-hati.

Memang betul sungguh-sungguh kata2 orang veteran yang aku mesti melawat daddy dan daddy pasti menerima aku sedanya. Awalnya aku takut tapi hakikatnya terbukti. Daddy tetap menerima aku. Kegembiraan jelas terbayang di wajahnya. Dan sekali lagi aku amat menyukai melihat wajahnya yang memang ada seri.

Masa untuk pulang ke Kuala Terengganu sudah tiba. Memang seawal ketibaan aku ke Pasir Tumbuh sehari sebelum itu aku memberitahunya aku terpaksa bergegas pulang ke Kuala Terengganu kerana aku ada urusan pada esok harinya. Waktu Asar hampir tiba dan aku melihat daddy sudah membuka pintu rumah untuk ke Masjid. Waktu itu aku sedang berkemas-kemas pakaian. Daddy mempelawa aku ke masjid bersama-sama. Namu aku memberitahunya yang aku telah pun menjamakkan solat asar aku pada waktu Zohor tadi. Dia mengangguknya.

Aku memeberitahu daddy yang aku sekejap saja lagi akan keluar rumah. Dan dia berpesan supaya mencampakkan sahaja kunci rumah ke dalam rumah melalui tingkap. Aku mengiakan sahaja. Lalu aku menggenggam tangan daddy dan menciumnya dan berpesan agar daddy menjaga diri sebaiknya. Seperti biasa pesanan dan harapana ku disambutnya seperti biasa. Aku terlalu amat memahaminya.

Daddy terus sahaja memandu kereta keluar. Dan pertemuan kali ini berakhir di situ.

Di sepanjang pemanduan pulang ke Kuala Terengganu, aku merasa begitu tenang sekali. Merasa lapang sekali. Selesa sungguh setelah daddy dapat menerima aku dan keluarga aku seadanya. Malah siang-siang lagi aku meminta izinnya untuk terus melawatnya pada bila-bila masa yang perlu.

Dan hasil pertemuan tersebut, yang paling aku berpuas hati ialah kesanggupan dan kesungguhannya untuk menghantar sms kepada anak bujang aku dengan kata-kata nasihat yang amat berguna kepada anak bujang aku. Aku amat berterima kasih kerana daddy masih dan tetap menerima aku dan keluarga aku.

Telahan aku begitu meleset.


Semoga daddy beroleh kesihatan yang berpanjangan selalu.

Terima kasih daddy! I love you!




0 comments:

Post a Comment