Followers

Pengunjung Blog

Powered by Blogger.

Music 3

Gagalnya Sebuah Impian - Bahagian 1

Salam bahagia teman-teman pelayar blog aku sekelian. Ya, itulah yang dapat aku doakan kepada kalian. Nak aku madahkan yang lain, aku bukanlah pujangga. Insan biasa, indahnya tiada, apatahlah lagi tutur dan budi bicara.

Entah mengapa, mutakhir ini aku suka dan gemar berpuitis pula dalam posting yang begitu teknikal ini. Tapi, apa yang perlu dihairankan, aku juga insan amat biasa, punyai perasaan, punyai kecintaan, naluri dan kasih sayang. Ditambah pula, mutakhir ini aku menjadi lebih tenang dalam menghadapi apa jua persoalan; perniagaan, kehidupan dan keluarga. Semacam ada satu suntikan dari dalam. Sungguh berbeza-beza dengan sejarah kehidupan yang dulu-dulu hilang arah dan kadang-kadang tak keruan. Syukur Alhamdulillah sahaja yang dapat aku zahirkan. Ku pohon pada Ilahi semoga ketenangan ini berkekalan. InsyaAllah!

Seperti lazimnya, ini adalah blog aku dan tempat mecurah segala macam rencah kehidupan yang aku mampu nukilkan, hanya untuk dikongsikan bersama-sama. Yang baik ambillah menjadi teladan kehidupan dan yang buruk ambillah sebagai iktibar kehidupan. Jangan sekali-kali mencemuh seandainya yang dibaca itu adalah seperti menelan cili api yang merah menyala - pedas, sebaliknya janganlah sedih pula seandainya jalan cerita ini adalah sama serta bakal menyentuh menyentuh perasaan pembaca sekalian. Anggaplah ianya satu kebetulan, tidak lebih dari itu.


Teman-teman sekalian. Coretan ini hanyalah sebagai satu kesah kehidupan yang pada aku amat rumit dan unik sekali. Ianya berkisar kisah hubungan kekeluaragan antara aku dan bapa angkat aku. Perihal bapa angkat ini pernah aku nukilkan dalam beberapa posting sebelum daripada ini. Aku seakan-akan terjebak dengan kisah bapa angkat ini yang amat unik dalam serba hal, baik pekertinya, tuturnya dan juga gerak-gerinya. Terjebaknya nya aku kerana padanya aku telah termakan budi yang amat banyak di kala kehidupan begitu mencengkam. Namun tidak pula aku ingin mengatakan bapa angkat ini bertolongan untuk mengambil kesempatan ke atas diri aku dan keluarga aku, tetapi dalam masa yang sama ingin aku katakan memmang orang tua ini suka berpandangan jauh melangkaui pemikiran dan anganku. Mungkin kerana usianya yang memang layak dipanggil ayah telah menjangkakan sesuatu bakal berlaku pada aku.

Pada sebulan sebelum kedatangan CNY 2010 yang lalu, aku dan keluarga aku sudahpun bertandang ke rumah bapa angkatku yang menyewa di sekitar Pondok Pasir Tumboh, Kelantan. Pemergian aku sekeluarga hanyalah untuk menghantar sebuah kereta Proton Saga UK Spec yang dibeli dari aku sebanyak RM2K. Kalu nak dikirakan terlalu murah, manakan tidaknya, kos repairnya pun mencecah tepat-tepat RM3K menjadikannya RM5K. Namun aku juga telah terikat dengan hutang yang menjadikan akhirnya kos sebenar jauh lebih murah dari RM3K.

Dipendekkan ceritanya aku dan keluarga telah memandu kereta yang tidak ber"Road Tax" itu kerana semenjak beberapa bulan dulu bapa angkat ini telah "pinjam" Road Tax untuk dipasang pada kereta Proton Waja yang entah dari mana datangnya (katanya itu adalah hadiah dari anak angkat perempuannya di Johor). Sesekali seakan ditipunya aku.... maksud aku masakan diberinya kereta tetapi tidak diberinya cukai jalan sekali. Tapi aku buat tak endah juga dan akhirnya dengan susah payah di tengah malam buta, sampai juga kereta tersebut di Pasir Tumbuh melalui Gua Musang. Mengimbau kembali terasa macam bodoh pula kerja tersebut.

Itulah kesungguhan aku untuk menunjukkan kasih sayang kepada seorang ayah, melakukan perkara yang tidak pernah aku lalui dalam sepanjang hayat aku. Akan tetapi, kedatangan aku dan keluarga aku disambut dengan penuh hambar. Aku masih tidak kisah langsung dan memberi tahu anak bujang aku supaya bersabar dengan kerenah atuknya. Tidak disapanya langsung malah apabila diajak makan sekali pun, ditolak pada awalnya. Aku semakin menyedari dan mempelajari sesuatu yang baru yang terdapat pada bapa angkat ini.

Kuat merajuk dan beremosi sungguh! Tapi untuk apa dia beremosi? Kenapa dia beremosi? Pernah satu ketika, di waktu dia putus cinta dengan perempuan pilihan hatinya, dia telah semberono menuduh aku yang akulah punca kepada putus cintanya. Astaghfirullah! Kenapa aku? Walhalnya aku langsung tidak mengenal perempuan itu, dengar namanya pun jarang-jarang sekali! Tapi aku masih tabahkan hati. Aku hanya menganggap semua itu adalah rajuk orang tua yang semestinya aku menahan segala tomahan. Banyak juga aku merujuk kepada orang-orang tua yang sebaya dengannya menanyakan akan perasaan dan perangai apabila seseorang lelaki mencapai usia lebih 65 tahun. Rata-rata jawapan yang aku dapat adalah menjadi lumrah kepada semua lelaki untuk senang merajuk sekiranya sesuatu itu menyentuh perasaan. Terguris!

Sedikit latar belakang Bapa Angkat Aku!
Ini kerana mungkin aku ialah insan yang paling rapat dengan dia. Kalau mengikut ceritanya, (kekadang tu, aku memang gatal bertanya perihal kesah kehidupan bapa angkat aku ini) dia adalah seorang duda yang mempunyai anak seramai 3 orang 2 perempuan dan seorang lelaki. Isterinya adalah seorang warganegara Indonesia berperanakan Belanda, anak kepada bekas Duta Indonesia ke Singapura pada satu ketika dulu. Namun setelah sedikit selisih faham hasil dari jatuhnya sebuah perniagaan (beliau memang mempunyai sebuah perniagaan sebagai pengedar Rokok Kumpulan Dunhill di sekitar Kota Tinggi - memang betul dna shahih buktinya). Tetapi sebab apa kejatuhan tersebut tidaklah aku mahu ceritakan di sini. Memang ada diceritakan kepada aku. Hasilnya, isteri beliau telah membawa diri keluar dari rumah yang serba kosong itu, di Puchong kembali ke Acheh. Dan dipendekkan ceritanya, isteri beliau telah menjadi mangsa korban Tsunami Acheh Disember 2005 yang lampau. Samada betul atau salah, kejadian ini tetap menjadi persoalan besar bagi aku. Sebabnya aku masih ada mempunyai bukti-bukti yang lain, yang InsyaAllah akan aku luahkan juga satu ketika nanti.

Sebelum daripada itu, beliau juga pernah menjalankan perniagaan menjual kerata baru dan terpakai. Ini juga ada kebenarannya sebab memang terdapat banyak bukti, cumanya aku kurang pasti samada dia memang mempunyai lokasi yang tetap atau sekadar mobile business. Aku juga kurang pasti kenapa perniagaannya tidak diteruskan kerana dia amat kurang bercerita perihal perkara tersebut.

Berbalik kepada soal kehidupan beliau, setelah kematian isterinya (menjadi tanda tanya!) ke semua anak-anak beliau telah memperolehi kehidupan yang membanggakan. Aanak perempuan sulungnya merupakan seorang Doktor Pakar Pergigian dari Universiti Malaya dan akhirnya berkahwin dengan seorang Mat Salleh UK dan menetap di sana. Dikatanya juga, anak beliu tersebut mempunyai seorang anak lelaki (cucu lah kiranya). Manakala anak perempuan beliau yang kedua berkahwin dengan sorang warga Arab, bekerja dengan United Nation dan tinggal di Washington DC, manakala anak lelaki beliau berkahwin dengan seorang anak dato' dari Johor setelah menceraikan menantu dari Pahang yang menyebabkannya terlalu marah dan terus membuang anak lelakinya itu tanpa mengaku anaknya lagi (He disowned his son). Anak lelakinya itu bekerja di Jepun telah sekian lama dan memetap di sana. Kalau diikutkan logik akal, beliau memang mempunyai latarbelakang kekeluargaan yang cukup mantap.

Hanya aku saja (aku rasa) yang begitu arif tentang perjalanan cerita kehidupannya. Biarlah aku rahsiakan sementara waktu demi menjaga kerukunan kekeluargaan antara dia dan juga keluarga aku. Terus terang aku katakan, memang aku tak mampu untuk berpisah dengan bapa angkat aku ini. Aku cukup pasti ada sesuatu yang menyebabkan beliau terlalu merahsiakan perkara sebenar kepada aku.

Beliau selalu mengatakan kepada aku, baginya adalah terlalu baik dan sebati dengan kata-kata pujangga mat saleh "No news is always good news". Bermakna beliau telah memberi kata putus kepada anak-anaknya, jangan selalu bertanya perihal kehidupannya dan biarlah beliau menjalani kedihidupanya secara bersendirian. Tak perlu bertanya khabar. Dan dalam waktu yang sama beliau berpesan kepada anak-anaknya jangan memberi tahu apa-apa jua pasal kehidupan mereka. Biar lah untuk kedua-dua pehak jangan bertanya khabar dan mengandaikan sekiranya tiada berita itu adalah sesuatu berita yang bagus.

Mungkin ada benarnya cara beliau katakan. Dan mungkin ada benarnya apa yang beliau maksudkan. Tak pernah terdengar dari telinga aku dia menelifon anak-anaknya. tak pernah juga aku mendengar anak-anaknya menelefon bapanya. Aku bukanlah seorang anak yang amat baik kepada emak dan ayah aku. tetapi dalam waktu2 tertentu, kalau pun tidak menelefon, akan aku jengahkan juga orang tua aku di kampung sana.

Dari situasi ini aku seakan mendapat gambaran yang orang tua ini sedang melanda krisis dalaman yang amat kronik antara keluarganya dan dirinya sendiri. Jarang sekali aku mencukilkan bukti-bukti shahih darinya kerana aku tahu sudah pasti beliau tidak akan menceritakan sesuatu yang betul. Bukan niat beliau untuk menipu dan membohongi aku, akan tetapi ada sesuatu yang terlalu amat menyentuh perasaan beliau. Maka dengan itu aku hormati perasaan beliau, walaupun sering-kali beliau cuba menceritakan, tetapi dalam bab ini aku sering pekakkan telinga aku.

Kekadang aku terasa amat kesian kepada beliau. Bersungguh-sungguh beliau bertaubat dengan Allah Azzawajalla. Sembahyang sunat yang banyak dan tanpa jemu pergi bersembahyang berjemaah di masjid, setiap waktu tanpa mis. Namun dalam waktu yang sama aku daapat melihat kecelaruan di dalam kehidupan beliau. Terumbang ambing. Sekejap menjadi manusia yang tebaik, sekejap menjadi insan yang lain, selalu bermuram. Dan yang paling tak disangka-sangka ialah beliau selalu "Demam Cinta". Terlalu ramai wanita sukakan akan beliau samada, dara, janda ataupun isteri-isteri orang.

Aku pun naik hairan macam mana perkara ini boleh terjadi dan bila pula beliau membuat "marketing" ini. Ada sahaja senarai perempuan atau mak-mak janda yang diberitahu kepada aku. Senarai senarai baru. Aku memang tahu bapa angkat aku ini sedang mencari seorang yang secocok dengan dirinya untuk dijadikan isteri. Kekadang itu beliau sendiri yang memperkenalkan kepada aku. Kekadang tu beliau merahsiakan kepada aku. Aku menjadi serik kerana aku pernah dimarahi dengan dikeluarkan kata-kata yang kesat terhadap diri aku. Aku pun kadang-kadang tidak heran sangat dengan marah beliau itu. Lumrah bagi aku, bila kecewa, mesti ada tempat untuk beliau meluahkan perasaan beliau. Aku lah tempatnya. Aku terima, aku sanggup sebab aku tahu ianya hanya bersifat sementara dan kadang-kadang seronok melayan karenah seperti ini. Ianya juga mematangkan diri aku.

Kini beliau bermuram lagi. Aku baru saja pulang dari melawatnya. Hampir seminggu aku di sana. Pemergian aku sekeluarga di sana juga hasil dari jemputan beliau melalui isteriku. Beliau sering bertanya bilakah kami hendak ke sana lagi. Selalu juga beliau bertanya. Untuk tidak menghampakan beliau, ditambah juga dengan perasaan aku untuk melawat beliau dapat juga aku "berkuliah" agama di masjid yang berdekatan. Pada awal kedatangan kami beliau nampak begitu ceria. Diterima kehadiran kami. Kami begitu gembira.

Namun, keadaan terus berubah dalam sekelip mata sahaja apabila saya mengatakan bahwa saya akan pulang pada sekian hari. Suasana menjadi lain. Susah sungguh untuk kami berinteraksi dengan orang tua ini. Pada ketika itu aku pun tak faham siapa aku yang sebenarnya pada sisi beliau. Adakah aku tetamu yang tidak pernah diundang? Lantas aku kembali kepada asal bahawa memang orang tua ini cepat merajuk. Pantang dengar yang negetif, terus menerus berubah.

Namun aku juga manusia. AKu juga punyai perasaan. Anak-anak juga sudah besar. Pandai menilai dan pandai membezakan. Melihat perwatakan atuknya itu sudah cukup untuk anak-anak aku menjemput kami pulang. Tiada lagi manisnya. Atuk sering berukurng di dalam bilik dan sering sahaja bermuram durja. Kekadang itu, atuk keluar rumah selalu pulang lewat. Jamah makanan pun acuh tak acuh sahaja. Masakan perkara-perkara sedemikian boleh diambil remeh oleh anak dara dan anak bujang aku. Puas juga aku menunjukkan sikap nutral aku kepada kedua-dua belah pihak. Nasib baik juga isteri aku pandai mainkan peranan. Beliau sedikit pun tidak menunjukkan rasa rimas beliau. Namun orang tua itu tetap seperti itu. Masih tidak berubah.

Memang pening! Hatta pada hari kami ingin bertolak pulang, beliau belum pun sampai ke rumah setelah selesai sembahyang subuh. Tempat mana yang dilewatinya aku pun tak kesah. Jam hampir menunjukkan pukul 8 pagi. Baru beliau sampai ke rumah. Setibanya beliau di dalam rumah kami pun bersalaman. Aku dakap dan peluk beliau kuat2 sambil membisikkan sesuatu. Air mata aku gugur tanpa dapat ditahan-tahan. Aku terasa amat sedih sekali atas perlakuan beliau yang tidak juga berubah-ubah.

Sempat juga aku membisikkan kepada beliau bahwa aku memohon beliau menghalalkan segala makan dan minum aku di sepanjang tempoh perkenalan aku dengan beliau dan aku bisikkan lagi supaya beliau memafkan aku dan keluarga aku di atas apa yang terjadi ke atas dirinya dari semenjak perkenalan dulu hingga kini. Aku katakan kepadanya, kedatangan kami bukan untuk menambahkan kerumitan dalam jadual kehidupan beliau akan tetapi adalah untuk menceriakan kehidupan. Airamata aku bercucuran tanpa dapat aku tahan-tahan. Aku katakan kepadanya kiranya kedatangan aku kali ini telah merencatkan perjalanan kehidupan harian beliau, mungkin ini lah kali yang terakhir aku dapat bersama-sama beliau dan aku pohonkan jutaan ampun dan maaf selama pekenalan kami, ada yang terguris dan ada yang teluka.

Di akhirnya aku mencium beliau dan tangan beliau dengan berpesan, sekiranya beliau telah ditemukan jodoh atau kahwin, cukup sekadar beliau memaklumkan kepada aku. Aku terus keluar dari rumah beliau tanpa aku menoleh ke belakang. Aku terdengar belaiu berpesan sesuatu kepada aku. Aku dengar beliau menutup pintu dan grill rumah dengan begitu kuat.

Dan aku AKU PASTI, beliau juga sedang menangis.

Aku tidak peduli dan tidak hairan. Bukan permintaan aku untuk terjadinya sedemikian. Biarlah beliau sedikit merasa resah akan kesilapan beliau. Aku pasti belaiu dapat memikirkannya dengan begitu wajar. Memang niat untuk mengajar beliau.

Tidak aku toleh-toleh lagi kebelakang. Aku memandu seperti seadanya memikirkan apakah yang bakal berlaku kepada perhubungan kami sekeluarga. Terngian-ngian dikepala ku disepanjang pemanduan. Seperti mana berlikunya jalan-jalan Gua Musang Ke Bentung Pahang, begitulah berlikunya kehidupan orang tua ini. Terlalu amat susah untuk mendampingi beliau. Pun begitu, aku terus bermuhasabah diri. Memohon doa dan restu dari Ilahi semoga Allah memberikan kekuatan kepada aku dan beliau untuk terus menerus merapatkan ukhuwaah. Aku cukup berpegang kepada perkara ini; berdosa sebagai seorang umat Islam untuk memutuskan hubungan silaturrahim.

Setelah sampainya di rumah, cepat-cepat aku menghantar SMS kepada bapa angkat ku mengatakan yang aku sudah selamat sampai. Dibalasnya SMS seperti biasa "Alhamdulillah!. Bagi aku  itu sudah mencukupi.

Bersambung pada laman yang kan datang.......

"Aku seakan terjebak dan dalam polimik untuk menyahkan diriku dari suasana yang pada aku tiada lagi seronoknya. Namun memang perasaan aku bercampur baur antara marah dan kesian. Marahnya aku kerana aku seolah-olah mencium bau yang bapa angkat aku ialah seorang yang pada aku terlalu tinggi egonya, juga kekadang itu hidup dalam keadaan dunia yang begitu hipokrit, yang hanya dia saja yang tahu akan apa yang dia mahu. Begitu unik untuk digambarkan dengan kata-kata. Seolah-olah itu aku kadang-kadang hidup dalam siri-siri drama sahaja." sinopsis akan datang



Satu Pengorbanan & Sebuah Harapan - Apakah Akan Tertunai?

Assalamulaikum & Salam Bahagia para pengunjung setia blog ini!

Apa khabar anda di kala ini? Khususnya kepada penternak-penternak kecilan dan besaran, saya mendoakan anda sekelian dicucuri Rahmah dan Rezeki yang halal melimpah ruah!. Begitulah kita, Orang Islam, senjata paling ampuh dalam apa jua situasi ialah "DOA". Terbaik untuk berdoa mestilah melalui kaifiat-kaifiat yang tertentu, barulah mustajab doa itu.

Tidak seperti selalunya posting-posting saya kali ini, sesekali bairlah kita berubah arah dan citarasa selama mana ianya tidak mendatangkan mudarat kepada sesiapa saja, baik dari kalangan orang Muslim dan juga bukan Muslim. Kita lari sedikit dari membicarakan tentang soal-soal perniagaan, soal-soal teknikal. Sudah saban hari anda membaca coretan berkaitan dengan, mesin, mesin, mesin, telor2 dan ayam dan macam-macam lagi urusan penternakan. Memang kalu diikutkan, tak terlayan badan ini untuk menzahirkan apa jua yang terlintas. Tambahan pula kerja bersaorangan, bertemankan Henfon sahaja. Lain lah kalau henfon berfungsi untuk mengetuk sana, paku sini, drill sana, solder sini. Kalu itu lah tugas henfon, nak aku belikan banyak-banyak. Hehehehe....dalam suasana serious dan tensyen, nak juga berlawak supaya kendur sikit urat-urat otak dan memudahkan oksigen mengalir dari dan ke dalam otak.

Siapakah Aku Sebenarnya!


Seperti kamu semua, aku juga sering bertanya, siapakah aku ini sebenarnya? Aku pun was-was! Ya Allah...kalau aku belum lagi mengenali diri aku, mana mungkin aku mampu mengenali diriMU? Namun dalam sendu aku mencari-cari identiti aku sebenarnya. Namum memang agak susah. Hipokrit? Mungkin, Manusia muflis!(Di sisi Allah) mungkin! Tapi itu lah aku paling takut. Dilihat seperti kaya, tetapi sebenarnya kita ini MUFLIS!. Subhanallah!

Cuba-cuba anda pulak fikirkan! Siapakah diri anda sebenarnya! Anda bertuah sekiranya anda telah mengenali diri anda sebenarnya.

Ada pun secara zahirnya, anda memang telah mengenali diri saya, kalu yang dah bersua muka itu, kenal lah saya dari segi fizikalnya. Hensemnya jauh sekali, apatah lagi sekiranya diukur dari segi kecacatan. Bagi yang hanya mengenali melalui media internet, anda hanya mampu dapat melihat gambar saja. Itupun saja disamar-samarkan untuk tidak menampakkan rawak yang tak hensem itu. Anda juga boleh mengenali saya melalui coretan-coretan yang berada di mana-mana blog dan forum. Tetapi saya cukup pasti, memang sedikit sebanyak, ianya tidak mencerminkan saya secara sepenuhnya.


Beristeri seorang dengan dikurniakan 5 orang cahaya mata, 3 lelaki dan 2 perempuan, itulah rezeki sebenar yang Allah campakkan kepada saya dan pasangan saya semenjak 20 tahun yang lalu (terasa muda jer lagi). Berjalanlah proses penghidupan ini, mengharungi gelombang kecil dan besar dan beberapa kali tersadai dipukul ombak. Hanya Allah sahaja yang mengetahui, bertapa hidup ini penuh dengan pancaroba dan ujian. Di datangkan ujian di dalam pelbagai bentuk. Tak tertangkis dengan ilmu yang cetek ini. Nasib baik Allah memberi kekuatan yang berterusan.


Untuk kesekian lamanya, aku baru saja "HENDAK" pulih trauma & phobia yang cukup perit untuk dirasakan. Namun diberikan sedikit Hinayah, maka aku menjadi sedikit bersabar lalu aku mensyukuri akan apa yang aku lalui sepanjang penghidupan aku.

Setiap sesuatu ada mulanya dan ada asbab dan penyebabnya. Kali terakhir aku dipulihkan semangat untuk kembali aktif ialah hasil pertemuan yang tidak disangka-sangka dengan seorang lelaki yang bernama Hj Abdullah. Baru hampir dua (2) tahun, perhubungan menjadi semakin mesra. Segala macam bantuan diberikan, wang ringgit, keringat serta juga pandangan yang begitu perspektif. Memang betul dia adalah bukan setakat tua dari segi umurnya, namun pengalamannya juga memang mengkagumkan. Tegas tetapi sedikit sensitif!

Dipendekkan ceritanya, boleh dikatakan hampir setahun, aku makan dan minum setiap hari dengan insan bernama Hj Abdullah ini dan di sinilah aku cedok segala macam ilmu (berbagai-bagai ilmu yang dia ada), cumanya aku ambil ilmu yang baik-baik sahaja. Dia bekalkan aku dengan semangat, dia juga membantu memulihkan semangat aku yang kian luntur di waktu itu. Dia juga sering berkata kepada aku yang dia akan pastikan aku boleh "bertateh" sebelum dia meninggalkan dan "melepaskan" aku bersendirian mengharungi dunia perniagaan yang penuh licik ini.

Ternyata kata-katanya bukan mainan mulut sahaja.  Dia telah kotakan janjinya. Dan itulah yang aku katakan hebatnya orang tua ini. Memang susah hendak dicari. Bengis, tegas tapi dalam masa yang sama sensitif. Tapi aku dapat menerimanya kesemua sifat-sifat itu. Dipendekkan ceritanya lagi, aku sedikit pun tidak mengeluarkan wang ringggit untuk aku memulakan kembali bisnes ini, cukup sekadar bantuan iklhas beberapa kali yang orang tua ini berikan kepada aku. Setiap kali aku meminta duit, dia hanya berkata "berapa kamu mahu? Dan bila kamu nak?" Cukup simple pertanyaannya dan bagusnya dia kotakan janjinya. Dia selalu berkata kapada aku " When he says it, he always means it". Itulah, dan boleh dikatakan, hampir 90% perbualan samada melalui sms mahupun secara lisan, kesemuanya adalah dalam Bahasa Inggeris.

Aku tidak heran, orang tua ini ialah pelajar MCKK yang kena "dropped" sebab masalah kemiskinan. Itu ceritanya.

Kini, orang tua ini telah membawa dirinya jauh dari aku dan keluarga aku. perginya adalah untuk mencari bekalan diakhirat dengan membawa 1000 kenangan pahit dan maung bersama rakan-rakan taulan di Puchong ini. Katanya, di kala nyawa dipenghujung usia, dia perlu "BERUZLAH" dengan kesibukan dunia yang telah hampir meranapkan kehidupannya sebagai hamba Allah. Syukur Alahamdulillah, Allah masih memberi ruang waktu yang sebaiknya untuk hamba Allah ini menebus segala dosa kecil dan besar secara bartaubat nasuha. Benar sekali dia melakukannya tanpa leka.

Sudah beberapa kali aku menjenguhnya di Pasir Tumbuh Kelantan. Seperti dijanjikan pada dirinya sendiri, dia laksanakan. Saban hari seawal kekadang itu pukul 2:30 pagi, oang tua ini telah berada ditikar sembahyang, kekadang tu hampir basah satu taula menangisi akan dosa2 yang yang dilakukan. Begitu istiqomah sekali.

Kini, aku hampir mendapat tempias perilaku orang tua ini. Aku seronok melihat peristiwa yang berlaku di depan mata. Aku juga gagahi diri aku untuk melakukan perkara yang sama. Aku berterima kasih kepadanya kerana dengan bantuannya aku mendapat hidayah untuk turut sama menadah tangan memohon kepada Ilahi apa saja yang baik untuk penghidupan di dunia dan juga di akhirat. Mati itu bukannya disebabkan oleh usia sesorang. Muda pun mati, tua pun kadang2 susah nak mati!

Makan lantaran itu, sebagai mengenangkan jasa baik orang tua ini, aku telah mengangkat martabatnya sebagai "bapa angkat" dan dan sekali lagi aku mensyukuri Nikmat Alllah mengurniakan seorang "bapa" yang cukup perihatin. Pun begitu, aku sedikit terkilan yang bapa aku ini sudah cukup berlainan sifatnya. Sudah tidak seperti dahulu. Sudah kurang untuk berurusan dengan dunia, hatta, aku dan kelaurga aku pun agak susah untuk melawatnya. Puas juga aku memikirkan, apakah sebenarnya yang dicari. Kerap juga aku dimarahi (marah dia memang separti marah seorang ayah kepada anak dan aku menrima seadanya). Ingin sekali aku membalas jasa baiknya, tetapi kekadang itu diherdiknya aku sedemikian rupa. Berkali-kali aku mengatakan aku hendak membayar hutang (tak taulah samada dia beri pinjam atau apa), tapi dia sering mengatakan "pay when U have the money". EEEiiiii susahnya aku dibuat oleh orang tua ini.

Aku mencongak-congak, tidak ramai orang mendapat peluang seperti yang aku dapat ini. Entah dari mana Allah campakkan manusia ini ke dalam hidup aku. Pelik, tapi memang benar. InsyaAllah, pada hari Raya Cina ini, aku sekeluarga akan sekali mengunjungi bapa aku ini, dan aku juga telah mendapat green-light. Aku amat-amat "looking forward". Semoga Allah memanjangkan USIA hambaNya ini dan moga-moga taubat bapa aku ini akan diterima oleh Allah.

Bagi diri aku, akan aku gengam azimat yang selalu dipesan kepada aku dengan penuh Istiqomah dan mudahan setelah aku bertateh ini, Allah akan pulihkan semangat aku untuk sekurang-kurangnya dapat "berjalan" kalaupun tidak dapat menjadi "sprinter". Moga-moga Allah makbulkan doa "bapa" aku ini yang telah sekian lamanya dipohon. Ameen.....