Followers

Pengunjung Blog

Powered by Blogger.

Music 3

Gagalnya Sebuah Impian - Bahagian 1

Salam bahagia teman-teman pelayar blog aku sekelian. Ya, itulah yang dapat aku doakan kepada kalian. Nak aku madahkan yang lain, aku bukanlah pujangga. Insan biasa, indahnya tiada, apatahlah lagi tutur dan budi bicara.

Entah mengapa, mutakhir ini aku suka dan gemar berpuitis pula dalam posting yang begitu teknikal ini. Tapi, apa yang perlu dihairankan, aku juga insan amat biasa, punyai perasaan, punyai kecintaan, naluri dan kasih sayang. Ditambah pula, mutakhir ini aku menjadi lebih tenang dalam menghadapi apa jua persoalan; perniagaan, kehidupan dan keluarga. Semacam ada satu suntikan dari dalam. Sungguh berbeza-beza dengan sejarah kehidupan yang dulu-dulu hilang arah dan kadang-kadang tak keruan. Syukur Alhamdulillah sahaja yang dapat aku zahirkan. Ku pohon pada Ilahi semoga ketenangan ini berkekalan. InsyaAllah!

Seperti lazimnya, ini adalah blog aku dan tempat mecurah segala macam rencah kehidupan yang aku mampu nukilkan, hanya untuk dikongsikan bersama-sama. Yang baik ambillah menjadi teladan kehidupan dan yang buruk ambillah sebagai iktibar kehidupan. Jangan sekali-kali mencemuh seandainya yang dibaca itu adalah seperti menelan cili api yang merah menyala - pedas, sebaliknya janganlah sedih pula seandainya jalan cerita ini adalah sama serta bakal menyentuh menyentuh perasaan pembaca sekalian. Anggaplah ianya satu kebetulan, tidak lebih dari itu.


Teman-teman sekalian. Coretan ini hanyalah sebagai satu kesah kehidupan yang pada aku amat rumit dan unik sekali. Ianya berkisar kisah hubungan kekeluaragan antara aku dan bapa angkat aku. Perihal bapa angkat ini pernah aku nukilkan dalam beberapa posting sebelum daripada ini. Aku seakan-akan terjebak dengan kisah bapa angkat ini yang amat unik dalam serba hal, baik pekertinya, tuturnya dan juga gerak-gerinya. Terjebaknya nya aku kerana padanya aku telah termakan budi yang amat banyak di kala kehidupan begitu mencengkam. Namun tidak pula aku ingin mengatakan bapa angkat ini bertolongan untuk mengambil kesempatan ke atas diri aku dan keluarga aku, tetapi dalam masa yang sama ingin aku katakan memmang orang tua ini suka berpandangan jauh melangkaui pemikiran dan anganku. Mungkin kerana usianya yang memang layak dipanggil ayah telah menjangkakan sesuatu bakal berlaku pada aku.

Pada sebulan sebelum kedatangan CNY 2010 yang lalu, aku dan keluarga aku sudahpun bertandang ke rumah bapa angkatku yang menyewa di sekitar Pondok Pasir Tumboh, Kelantan. Pemergian aku sekeluarga hanyalah untuk menghantar sebuah kereta Proton Saga UK Spec yang dibeli dari aku sebanyak RM2K. Kalu nak dikirakan terlalu murah, manakan tidaknya, kos repairnya pun mencecah tepat-tepat RM3K menjadikannya RM5K. Namun aku juga telah terikat dengan hutang yang menjadikan akhirnya kos sebenar jauh lebih murah dari RM3K.

Dipendekkan ceritanya aku dan keluarga telah memandu kereta yang tidak ber"Road Tax" itu kerana semenjak beberapa bulan dulu bapa angkat ini telah "pinjam" Road Tax untuk dipasang pada kereta Proton Waja yang entah dari mana datangnya (katanya itu adalah hadiah dari anak angkat perempuannya di Johor). Sesekali seakan ditipunya aku.... maksud aku masakan diberinya kereta tetapi tidak diberinya cukai jalan sekali. Tapi aku buat tak endah juga dan akhirnya dengan susah payah di tengah malam buta, sampai juga kereta tersebut di Pasir Tumbuh melalui Gua Musang. Mengimbau kembali terasa macam bodoh pula kerja tersebut.

Itulah kesungguhan aku untuk menunjukkan kasih sayang kepada seorang ayah, melakukan perkara yang tidak pernah aku lalui dalam sepanjang hayat aku. Akan tetapi, kedatangan aku dan keluarga aku disambut dengan penuh hambar. Aku masih tidak kisah langsung dan memberi tahu anak bujang aku supaya bersabar dengan kerenah atuknya. Tidak disapanya langsung malah apabila diajak makan sekali pun, ditolak pada awalnya. Aku semakin menyedari dan mempelajari sesuatu yang baru yang terdapat pada bapa angkat ini.

Kuat merajuk dan beremosi sungguh! Tapi untuk apa dia beremosi? Kenapa dia beremosi? Pernah satu ketika, di waktu dia putus cinta dengan perempuan pilihan hatinya, dia telah semberono menuduh aku yang akulah punca kepada putus cintanya. Astaghfirullah! Kenapa aku? Walhalnya aku langsung tidak mengenal perempuan itu, dengar namanya pun jarang-jarang sekali! Tapi aku masih tabahkan hati. Aku hanya menganggap semua itu adalah rajuk orang tua yang semestinya aku menahan segala tomahan. Banyak juga aku merujuk kepada orang-orang tua yang sebaya dengannya menanyakan akan perasaan dan perangai apabila seseorang lelaki mencapai usia lebih 65 tahun. Rata-rata jawapan yang aku dapat adalah menjadi lumrah kepada semua lelaki untuk senang merajuk sekiranya sesuatu itu menyentuh perasaan. Terguris!

Sedikit latar belakang Bapa Angkat Aku!
Ini kerana mungkin aku ialah insan yang paling rapat dengan dia. Kalau mengikut ceritanya, (kekadang tu, aku memang gatal bertanya perihal kesah kehidupan bapa angkat aku ini) dia adalah seorang duda yang mempunyai anak seramai 3 orang 2 perempuan dan seorang lelaki. Isterinya adalah seorang warganegara Indonesia berperanakan Belanda, anak kepada bekas Duta Indonesia ke Singapura pada satu ketika dulu. Namun setelah sedikit selisih faham hasil dari jatuhnya sebuah perniagaan (beliau memang mempunyai sebuah perniagaan sebagai pengedar Rokok Kumpulan Dunhill di sekitar Kota Tinggi - memang betul dna shahih buktinya). Tetapi sebab apa kejatuhan tersebut tidaklah aku mahu ceritakan di sini. Memang ada diceritakan kepada aku. Hasilnya, isteri beliau telah membawa diri keluar dari rumah yang serba kosong itu, di Puchong kembali ke Acheh. Dan dipendekkan ceritanya, isteri beliau telah menjadi mangsa korban Tsunami Acheh Disember 2005 yang lampau. Samada betul atau salah, kejadian ini tetap menjadi persoalan besar bagi aku. Sebabnya aku masih ada mempunyai bukti-bukti yang lain, yang InsyaAllah akan aku luahkan juga satu ketika nanti.

Sebelum daripada itu, beliau juga pernah menjalankan perniagaan menjual kerata baru dan terpakai. Ini juga ada kebenarannya sebab memang terdapat banyak bukti, cumanya aku kurang pasti samada dia memang mempunyai lokasi yang tetap atau sekadar mobile business. Aku juga kurang pasti kenapa perniagaannya tidak diteruskan kerana dia amat kurang bercerita perihal perkara tersebut.

Berbalik kepada soal kehidupan beliau, setelah kematian isterinya (menjadi tanda tanya!) ke semua anak-anak beliau telah memperolehi kehidupan yang membanggakan. Aanak perempuan sulungnya merupakan seorang Doktor Pakar Pergigian dari Universiti Malaya dan akhirnya berkahwin dengan seorang Mat Salleh UK dan menetap di sana. Dikatanya juga, anak beliu tersebut mempunyai seorang anak lelaki (cucu lah kiranya). Manakala anak perempuan beliau yang kedua berkahwin dengan sorang warga Arab, bekerja dengan United Nation dan tinggal di Washington DC, manakala anak lelaki beliau berkahwin dengan seorang anak dato' dari Johor setelah menceraikan menantu dari Pahang yang menyebabkannya terlalu marah dan terus membuang anak lelakinya itu tanpa mengaku anaknya lagi (He disowned his son). Anak lelakinya itu bekerja di Jepun telah sekian lama dan memetap di sana. Kalau diikutkan logik akal, beliau memang mempunyai latarbelakang kekeluargaan yang cukup mantap.

Hanya aku saja (aku rasa) yang begitu arif tentang perjalanan cerita kehidupannya. Biarlah aku rahsiakan sementara waktu demi menjaga kerukunan kekeluargaan antara dia dan juga keluarga aku. Terus terang aku katakan, memang aku tak mampu untuk berpisah dengan bapa angkat aku ini. Aku cukup pasti ada sesuatu yang menyebabkan beliau terlalu merahsiakan perkara sebenar kepada aku.

Beliau selalu mengatakan kepada aku, baginya adalah terlalu baik dan sebati dengan kata-kata pujangga mat saleh "No news is always good news". Bermakna beliau telah memberi kata putus kepada anak-anaknya, jangan selalu bertanya perihal kehidupannya dan biarlah beliau menjalani kedihidupanya secara bersendirian. Tak perlu bertanya khabar. Dan dalam waktu yang sama beliau berpesan kepada anak-anaknya jangan memberi tahu apa-apa jua pasal kehidupan mereka. Biar lah untuk kedua-dua pehak jangan bertanya khabar dan mengandaikan sekiranya tiada berita itu adalah sesuatu berita yang bagus.

Mungkin ada benarnya cara beliau katakan. Dan mungkin ada benarnya apa yang beliau maksudkan. Tak pernah terdengar dari telinga aku dia menelifon anak-anaknya. tak pernah juga aku mendengar anak-anaknya menelefon bapanya. Aku bukanlah seorang anak yang amat baik kepada emak dan ayah aku. tetapi dalam waktu2 tertentu, kalau pun tidak menelefon, akan aku jengahkan juga orang tua aku di kampung sana.

Dari situasi ini aku seakan mendapat gambaran yang orang tua ini sedang melanda krisis dalaman yang amat kronik antara keluarganya dan dirinya sendiri. Jarang sekali aku mencukilkan bukti-bukti shahih darinya kerana aku tahu sudah pasti beliau tidak akan menceritakan sesuatu yang betul. Bukan niat beliau untuk menipu dan membohongi aku, akan tetapi ada sesuatu yang terlalu amat menyentuh perasaan beliau. Maka dengan itu aku hormati perasaan beliau, walaupun sering-kali beliau cuba menceritakan, tetapi dalam bab ini aku sering pekakkan telinga aku.

Kekadang aku terasa amat kesian kepada beliau. Bersungguh-sungguh beliau bertaubat dengan Allah Azzawajalla. Sembahyang sunat yang banyak dan tanpa jemu pergi bersembahyang berjemaah di masjid, setiap waktu tanpa mis. Namun dalam waktu yang sama aku daapat melihat kecelaruan di dalam kehidupan beliau. Terumbang ambing. Sekejap menjadi manusia yang tebaik, sekejap menjadi insan yang lain, selalu bermuram. Dan yang paling tak disangka-sangka ialah beliau selalu "Demam Cinta". Terlalu ramai wanita sukakan akan beliau samada, dara, janda ataupun isteri-isteri orang.

Aku pun naik hairan macam mana perkara ini boleh terjadi dan bila pula beliau membuat "marketing" ini. Ada sahaja senarai perempuan atau mak-mak janda yang diberitahu kepada aku. Senarai senarai baru. Aku memang tahu bapa angkat aku ini sedang mencari seorang yang secocok dengan dirinya untuk dijadikan isteri. Kekadang itu beliau sendiri yang memperkenalkan kepada aku. Kekadang tu beliau merahsiakan kepada aku. Aku menjadi serik kerana aku pernah dimarahi dengan dikeluarkan kata-kata yang kesat terhadap diri aku. Aku pun kadang-kadang tidak heran sangat dengan marah beliau itu. Lumrah bagi aku, bila kecewa, mesti ada tempat untuk beliau meluahkan perasaan beliau. Aku lah tempatnya. Aku terima, aku sanggup sebab aku tahu ianya hanya bersifat sementara dan kadang-kadang seronok melayan karenah seperti ini. Ianya juga mematangkan diri aku.

Kini beliau bermuram lagi. Aku baru saja pulang dari melawatnya. Hampir seminggu aku di sana. Pemergian aku sekeluarga di sana juga hasil dari jemputan beliau melalui isteriku. Beliau sering bertanya bilakah kami hendak ke sana lagi. Selalu juga beliau bertanya. Untuk tidak menghampakan beliau, ditambah juga dengan perasaan aku untuk melawat beliau dapat juga aku "berkuliah" agama di masjid yang berdekatan. Pada awal kedatangan kami beliau nampak begitu ceria. Diterima kehadiran kami. Kami begitu gembira.

Namun, keadaan terus berubah dalam sekelip mata sahaja apabila saya mengatakan bahwa saya akan pulang pada sekian hari. Suasana menjadi lain. Susah sungguh untuk kami berinteraksi dengan orang tua ini. Pada ketika itu aku pun tak faham siapa aku yang sebenarnya pada sisi beliau. Adakah aku tetamu yang tidak pernah diundang? Lantas aku kembali kepada asal bahawa memang orang tua ini cepat merajuk. Pantang dengar yang negetif, terus menerus berubah.

Namun aku juga manusia. AKu juga punyai perasaan. Anak-anak juga sudah besar. Pandai menilai dan pandai membezakan. Melihat perwatakan atuknya itu sudah cukup untuk anak-anak aku menjemput kami pulang. Tiada lagi manisnya. Atuk sering berukurng di dalam bilik dan sering sahaja bermuram durja. Kekadang itu, atuk keluar rumah selalu pulang lewat. Jamah makanan pun acuh tak acuh sahaja. Masakan perkara-perkara sedemikian boleh diambil remeh oleh anak dara dan anak bujang aku. Puas juga aku menunjukkan sikap nutral aku kepada kedua-dua belah pihak. Nasib baik juga isteri aku pandai mainkan peranan. Beliau sedikit pun tidak menunjukkan rasa rimas beliau. Namun orang tua itu tetap seperti itu. Masih tidak berubah.

Memang pening! Hatta pada hari kami ingin bertolak pulang, beliau belum pun sampai ke rumah setelah selesai sembahyang subuh. Tempat mana yang dilewatinya aku pun tak kesah. Jam hampir menunjukkan pukul 8 pagi. Baru beliau sampai ke rumah. Setibanya beliau di dalam rumah kami pun bersalaman. Aku dakap dan peluk beliau kuat2 sambil membisikkan sesuatu. Air mata aku gugur tanpa dapat ditahan-tahan. Aku terasa amat sedih sekali atas perlakuan beliau yang tidak juga berubah-ubah.

Sempat juga aku membisikkan kepada beliau bahwa aku memohon beliau menghalalkan segala makan dan minum aku di sepanjang tempoh perkenalan aku dengan beliau dan aku bisikkan lagi supaya beliau memafkan aku dan keluarga aku di atas apa yang terjadi ke atas dirinya dari semenjak perkenalan dulu hingga kini. Aku katakan kepadanya, kedatangan kami bukan untuk menambahkan kerumitan dalam jadual kehidupan beliau akan tetapi adalah untuk menceriakan kehidupan. Airamata aku bercucuran tanpa dapat aku tahan-tahan. Aku katakan kepadanya kiranya kedatangan aku kali ini telah merencatkan perjalanan kehidupan harian beliau, mungkin ini lah kali yang terakhir aku dapat bersama-sama beliau dan aku pohonkan jutaan ampun dan maaf selama pekenalan kami, ada yang terguris dan ada yang teluka.

Di akhirnya aku mencium beliau dan tangan beliau dengan berpesan, sekiranya beliau telah ditemukan jodoh atau kahwin, cukup sekadar beliau memaklumkan kepada aku. Aku terus keluar dari rumah beliau tanpa aku menoleh ke belakang. Aku terdengar belaiu berpesan sesuatu kepada aku. Aku dengar beliau menutup pintu dan grill rumah dengan begitu kuat.

Dan aku AKU PASTI, beliau juga sedang menangis.

Aku tidak peduli dan tidak hairan. Bukan permintaan aku untuk terjadinya sedemikian. Biarlah beliau sedikit merasa resah akan kesilapan beliau. Aku pasti belaiu dapat memikirkannya dengan begitu wajar. Memang niat untuk mengajar beliau.

Tidak aku toleh-toleh lagi kebelakang. Aku memandu seperti seadanya memikirkan apakah yang bakal berlaku kepada perhubungan kami sekeluarga. Terngian-ngian dikepala ku disepanjang pemanduan. Seperti mana berlikunya jalan-jalan Gua Musang Ke Bentung Pahang, begitulah berlikunya kehidupan orang tua ini. Terlalu amat susah untuk mendampingi beliau. Pun begitu, aku terus bermuhasabah diri. Memohon doa dan restu dari Ilahi semoga Allah memberikan kekuatan kepada aku dan beliau untuk terus menerus merapatkan ukhuwaah. Aku cukup berpegang kepada perkara ini; berdosa sebagai seorang umat Islam untuk memutuskan hubungan silaturrahim.

Setelah sampainya di rumah, cepat-cepat aku menghantar SMS kepada bapa angkat ku mengatakan yang aku sudah selamat sampai. Dibalasnya SMS seperti biasa "Alhamdulillah!. Bagi aku  itu sudah mencukupi.

Bersambung pada laman yang kan datang.......

"Aku seakan terjebak dan dalam polimik untuk menyahkan diriku dari suasana yang pada aku tiada lagi seronoknya. Namun memang perasaan aku bercampur baur antara marah dan kesian. Marahnya aku kerana aku seolah-olah mencium bau yang bapa angkat aku ialah seorang yang pada aku terlalu tinggi egonya, juga kekadang itu hidup dalam keadaan dunia yang begitu hipokrit, yang hanya dia saja yang tahu akan apa yang dia mahu. Begitu unik untuk digambarkan dengan kata-kata. Seolah-olah itu aku kadang-kadang hidup dalam siri-siri drama sahaja." sinopsis akan datang



0 comments:

Post a Comment