Followers

Pengunjung Blog

Powered by Blogger.

Music 3

Apakah Ianya Seperti Biduk Berlalu, Kiambang Bertaut?

Selamat bersua kembali!

Sudah menjadi kebiasaan aku, sebagai seorang blogger dan juga sebagai seorang peniaga kecilan, aku hanya menukilkan apa yang perlu setelah adanya semangat untuk menulis. Tidak semua yang tebayang di dalam benak ini sesuai untuk dinukilkan pada bila-bila masa. Pastinya ianya memerlukan ilham yang lebih untuk menulis, menjadikan penulisan itu lebih berketerampilan dan menyentuh perasaan pembaca.

Apa yang diharapkan, seperti biasa blog khusus aku ini ialah tempat aku menukilkan perasaan dan harapan setelah kepenatan memerah otak untuk memikirkan itu dan ini dalam usaha mencari sedikit rezeki yang halal untuk diri dan juga keluarga. Kalau diikutkan rasa, aku sentiasa tidak mempunyai ruang waktu untuk keluarga tersayang dan diri sendiri, setiap hari sama sahaja, sentiasa sibuk memikirkan soal dunia. Maka aku telah menanamkan satu iltizam sudah sejak sekian lama untuk mencuba sedaya upaya aku melapangkan sedikit waktu untuk tujuan itu.

Syukur Alahamdulillah, Allah memperkenankan doa aku yang membolehkan aku mengetuk kebod ini sekali lagi. Mudah-mudahan juga, setelah terpaparnya nukilan ini, akan membuatkan minda aku kembali segar dengan idea-idea yang baru setelah sekian lama terbuku.

Kisah aku kali ini masih lagi berkisar berkenaan dengan hubungan aku dan bapa angkat aku.

Telah agak lama aku tidak ke Pasir Tumbuh untuk menjenguknya. Bukan niat untuk tidak mahu menjenguk. Aku sentiasa ada masa terluang dan aku terlalu amat ingin menjenguknya. Namun masalah bapa angkat aku terlalu beremosi telah memungkinkan aku membatalkan hasrat aku untuk melawatnya buat seketika waktu. Kepingin sekali sebenarnya!

Bermulanya ialah dengan kerenahnya menyalahkan aku kerana dikatakan aku terlalu mencungkil rahsia keluarganya yang telah menyebabkan dia terlalu berkecil hati. Aku telah faham segalanya dan bukan niat aku untuk mencungkil segalanya. Aku rahsiakan cerianya dan peristiwa tersebut. Biar aku sahaja yang mengetahui, hatta isteri aku pun tidak pernah aku luahkan.

Lantaran daripada itu dia terlalu memarahi aku sehinggakan dia sanggup menghantar sms mengatakan itulah SMS yang terakhir yang dia akan berhubungan dengan aku. Marah sungguh dia kepada aku. Akan tetapi, dia tidak pernah langsung mengatakan untuk memutuskan hubungan kekeluargaan dengan aku. Aku bersyukur sebanyaknya kerana perkara itu tidak terluah darinya dan aku pada ketika itu cukup yakin yang bapa angkat ini hanya memarahi aku. Tidak lebih dari itu.

Lantas aku seperti biasa, bersifat "cool" sahaja. Aku langsung tidak mempedulikan marahnya. Malahan aku terus menerus menghantar sms dengan memeberitahu beberapa perkara dan peristiwa berkaitan dengan perniagaan aku. Aku seolah-olah seperti tidak pernah mengetahui akan sms yang dihantarnya. Menjadi rutin aku semenjak aku mengenali beliau, aku selalu melaporkan seboleh mungkin berkaitan dengan perancangan, kejayaan dan juga permasalahan yang aku dan keluarga aku alami. Aku betul-betul menghormati orang tua ini sebagai bapa, suka dan duka aku luahkan kepadanya.

Kalau diikutkan marahnya, memang aku tak mungkin ke Pasir Tumbuh lagi. Sekali lagi, seperti biasa aku berjumpa beberapa kenalan baru aku di Masjid Zainal Abidin (Masjid Negeri Terengganu) sewaktu Magrib dan Isya' mahu pun Subuh. Rakan-rakan atau kenalan aku itu adalah dari kalangan yang berumur seperti bapa angkat aku ini jua. Lingkungan umur lewat 60an. Ada juga yang yang hampir senasib dengan bapa angkat aku ini, hidup sebatang kara di usia emas ini. Kadang-kadang bergenang juga air mata ini bila mengenangkan perihal warga emas ini menguruskan diri bersaorangan. Terus menerus berlinang air mata aku teringat akan bapa angkat aku yang seorang itu. Susah payah dan sakit demamnya. Namun itu hanyalah telahan aku, walhal bapa ini seperti biasa sahaja. Sering kali dia memarahi aku supaya tidak mempedulikan cara mana dia menyarakan dirinya sendiri. Itulah masalahnya pada aku perihal orang tua ini.

Lantas aku berkongsi masalah dengan warga emas tersebut. Seperti biasa, orang yang banyak pengalaman hidup. Mereka tetap menyuruh aku melawat bapa angkat aku ini dan jangan mempedulikan marahnya. Kata mereka lagi, dan mereka semua yakin sekiranya aku kembali menjenguh bapa angkat aku ini, dia mesti menerima aku seadanya. Tidak akan dimarahinya.

Mengambil sepenuhnya nasihat mereka tersebut aku telah mengotakan janji diri sendiri dengan mengambil langkah berani sambil bertawakkal sepenuhnya kepada Allah mengunjungi bapa angkat aku tanpa sedikit pun memberitahunya terlebih dahulu, hatta mahupun sms. Tanggal 20 haribulan April yang lalu aku telah memandu menuju ke Pasir Tumbuh bertemankan anak bujang aku. Sungguh berdebar-debar aku, mengenangkan bertapa susah payah aku ini diakhiri dengan kekecewaan manalah tahu kalau2 kehadiran aku tidak diterima langsung oleh bapa angkat aku. Bermacam-macam kaedah dan cara serta "plan" yang bermain di dalam benak aku bagi menyakinkan kedatangan aku ke Pasir Tumbuh atau ke rumah orang tua ini diterima sepenuhnya tanpa sebarang halangan. Takut sungguh aku! Pelabgai doa aku bacakan agar Allah tenangkan fikiran dan diri ini.

Dipermudahkan cerita, pada sekitar jam 5:45 petang aku sampai di Pasir Tumbuh, betul-betul didepan rumah bapa angkat aku. Terperanjat juga aku apabila melihatkan pagar terbuka luas menandakan memang orang tua ini tiada di rumah. Aku dapat menelah yang orang tua ini semestinya sedang minum petang di warung yang selalu dikunjunginya selepas menunaikan solat asar. Namun aku menjadi berdebar-debar. Aku hantarkan sms bertanyakan di mana dia berada dengan memberitahu yang aku sedang berada di depan rumahnya. Tidak juga dijawabnya. Lantas aku membuat rondaan ke arah "pot" yang aku maksudkan. Aku yakin bapa angkatku berada di situ kerana keretanya jelas sekali dipakirkan di situ. Aku tidak terus menghampiri warung tersebut. Cukup sekadar meninjaunya dari jauh. Memang tepat sekali tanpa diragui lagi.

Lalu aku kembali semula ke depan rumah dengan mengharapkan bapa angkat ini telah sedia untuk balik ke rumah. Setelah hampir 20 minit berlalu, harapan aku menjadi pudar. Tidak juga pulang-pulang. Lantaran itu, aku menelefonnya semula. Ada nada deringnya, namun tidak berjawab. Aku mula merasakan sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Lantas sekali lagi bertekad untuk terus saja ke warung itu tanpa ada rasa takut lagi. Hanya satu saja tujuan aku ketika itu iaitu untuk melihatnya dari dekat di samping ingin sekali memulangkan sample baju Melayu dan Jubah yang aku pinjam.

Sampai saja aku di depan warung tersebut, aku terus sahaja menurunkan tingkap kereta, namun bapa angkat ku agak tergaman kerana memang dia tidak menyangka aku datang dengan kereta  Proton Perdana V6. Sebab aku hanya memandu proton Wira sahaja selalunya. Setelah melihat wajahnya hati aku terus merasa sejuk. Jauh sungguh berubah wajahnya. Berseri-seri. Tanpa aku menjangkakan. Lantas aku menyapanya. "Mengapa daddy tak membuka sms? Saya ada hantar mesej sekejap tadi". Selamba saja jawabnya "Tak perasan, sebab silen kot". Terus sahaja dia menyeluk henfon nya di dalam poket jubahnya. Dalam waktu yang sama kawannya di sebelah menyapa dan mempelawa aku untuk minum sekali. Namun aku memberitahunya yang aku ingin berjumpa dengan "daddy" di rumah. Lantaran itu aku berkata kepada bapa angkat agar aku terus saja ke rumah dan ingin berjumpa di rumah.

Pada ketika itu, aku tidak langsung melihat yang bapa angkat aku ini marah atau menolak pelawaan aku ke rumahnya, malah seolah dia terlalu ingin sekali berjumpa aku. Aku menunggu sahaja kepulangannya di rumah. Sesampainya di rumah, aku dan anak aku menyusul. Salam diberi dan tangan bersambutan, aku terus sahaja memeluk orang tua itu dengan penuh hormat. Terasa hiba sekali. Dia mempelawa aku duduk.

Aku seakan tidak pasti apa yang aku ucapkan. Aku tergamam. Kata ku padanya secara sepontan "Bersihnya wajah daddy, putih dan berseri, terlalu banyak berkurung kot?" Sapa aku padanya. Namun sapaan aku seolah-olah tidak didengarinya.

Tidak banyak celoteh aku sewaktu itu. Aku hanya menyatakan kedatangan aku tidak lebih dari untuk melihatnya secara dekat setelah sekian lama dia tidak berhubungan dengan aku dan keluarga aku di samping untuk menghantar baju serta jubah serta satu set lesung batu yang telah lama dipesannya. Bercerita sejenak dengannya sementara menunggu masuknya waktu Magrib.

Setelah aku melihat yang dia dapat menerima kedatangan aku dengan baik sekali, lantas aku meminta kebenarannya untuk bermalam bersama-sama anak aku di situ. Memang tidak dihalangnya lantas aku menyuruh anak aku mengambil beg pakaian dan terus naik ke bilik. Sambil anak bujang aku mengemaskan barang-barang ke dalam bilik, aku sempat menceritakan akan sedikit permasalahan berkaitan dengan anak bujang aku dan memintanya memberi nasihat sebagai atuk kepada cucu.

Lalu tanpa bercerita panjang, dia memang tiada bermasalah untuk bercerita dan memberi nasihat sebaik mungkin kepada cucunya. Aku hanya mendengar tanpa menyampuk. Terlihat reaksi anak bujang aku yang agak sedikit tidak selesa. Memang menjadi lumrah. Siapalah yang sudi menelan bulat2. Aku menjadikannya tempat rujuk kerana aku tahu yang dia mempunyai latarbelakang anak-anak yang agak baik. Aku menceritakan kepada anak bujang aku yang atuk mempunyai anak yang menjadi doktor dengan harapan agar nasihat atuk itu adalah nasihat yang betul.

Kami bercerita sehinggalah waktu untuk ke masjid tiba. Orang tua ini kena berbegas awal ke masjid kerana dia menjadi bilal dan aku memahaminya. Lantaran itu dia menghulurkan kunci spare yang biasa aku gunakan dan berpesan kepada aku untuk pergi ke masjid dengan anak aku. Setelah mandi, aku dan anak aku terus ke masjid dan di sana seperti biasa, jemaah dihidangkan dengan kuliah maghrib. Setelah selesai solat Isya, aku menjemput bapa angkat ini untuk sama-sama makan malam. Diterimanya pelawaan aku tanpa sebarang alasan malah aku melihat yang dia memang terimanya dengan amat baik sekali. Selesa sungguh aku, tidak dapat aku gambarkan.

Sewaktu mengambil pesanan makanan, aku melihat dia terus menerus memberi nasihat kepada anak aku tanpa henti dan jemu. Pelbagai. Setelah selesai makan kami kembali kerumah. Seperti biasa dia selalu tidur awal. Aku pun tidur awal kerana kepenatan.

Esoknya tepat jam 4:30 pagi aku terus terjaga seperti biasa. Aku sembahyang sunah apa yang patut. Namun aku tidak pernah mendengar yang bapa angkat aku ini bangkit untuk bertahajjud sehinggalah sehingga beberapa minit waktu subuh hampir masuk. Aku tidak kisah. Aku menjangkakan yang dia memang kepenatan.

Waktu subuh menjelang tiba, aku bersamanya menuju ke masjid menaiki kereta aku. Setelah solat subuh, kami terus pulang ke rumah. Daddy memberitahu yang dia terpaksa bergegas ke Kota Bharu dengan kawannya untuk menghadiri kelas Tasauf. Aku pernah mendengar satu ketika dulu yang dia ingin mengikuti kelas itu. Dan dia berpesan kepada aku agar membeli sarapan pagi kepada anak aku sendirian. Aku mengiakan sahaja.

Jam hampir 10:30 pagi, baru perut aku rasa lapar dan aku baru sahaja tergerak untuk keluar mencari apa yang patut untuk mengisi perut serta dalam usaha untuk pergi ke Kota Bharu untuk membeli ketayap. Di waktu itu aku melihat daddy sedang berjalan menuju ke rumah setelah kembali pulang dari kuilah Tasauf. Lantas aku meminta izinnya.

Setelah selesai membeli kopiah yang dipesan, aku kembali semulah ke rumah daddy dan sampai dirumah sekitar pukul 12:00 tengahari. Kami sempat lagi sembang-sembang. Sungguh seronok sekali. Daddy seolah-olah tidak mahu langsung mengimbau akan saat-saat kemarahannya kepada aku sebelum ini. Bercerita seadanya dengan aku seperti biasa. Setelah hampir masuk waktu zohor, daddy terpaksa ke masjid untuk bersiap mengazankan waktu zohor. Aku pergi bersendirian selepas dari itu.

Setelah selesai, aku sekali lagi menjemputnya untuk makan tengahari. Dia mengajak aku ke sebuah restoran. Sambil menjamu selera, dia menceritakan yang dia akan terus memberi nasihat kepada anak bujang sulung aku. Aku terharu mendengar kesediaannya. Memang betul-betul jangkaan aku meleset sama sekali. Daddy langsung tidak menunjukkan rasa marahnya. Tiada langsung. Aku amat berpuas-hati.

Memang betul sungguh-sungguh kata2 orang veteran yang aku mesti melawat daddy dan daddy pasti menerima aku sedanya. Awalnya aku takut tapi hakikatnya terbukti. Daddy tetap menerima aku. Kegembiraan jelas terbayang di wajahnya. Dan sekali lagi aku amat menyukai melihat wajahnya yang memang ada seri.

Masa untuk pulang ke Kuala Terengganu sudah tiba. Memang seawal ketibaan aku ke Pasir Tumbuh sehari sebelum itu aku memberitahunya aku terpaksa bergegas pulang ke Kuala Terengganu kerana aku ada urusan pada esok harinya. Waktu Asar hampir tiba dan aku melihat daddy sudah membuka pintu rumah untuk ke Masjid. Waktu itu aku sedang berkemas-kemas pakaian. Daddy mempelawa aku ke masjid bersama-sama. Namu aku memberitahunya yang aku telah pun menjamakkan solat asar aku pada waktu Zohor tadi. Dia mengangguknya.

Aku memeberitahu daddy yang aku sekejap saja lagi akan keluar rumah. Dan dia berpesan supaya mencampakkan sahaja kunci rumah ke dalam rumah melalui tingkap. Aku mengiakan sahaja. Lalu aku menggenggam tangan daddy dan menciumnya dan berpesan agar daddy menjaga diri sebaiknya. Seperti biasa pesanan dan harapana ku disambutnya seperti biasa. Aku terlalu amat memahaminya.

Daddy terus sahaja memandu kereta keluar. Dan pertemuan kali ini berakhir di situ.

Di sepanjang pemanduan pulang ke Kuala Terengganu, aku merasa begitu tenang sekali. Merasa lapang sekali. Selesa sungguh setelah daddy dapat menerima aku dan keluarga aku seadanya. Malah siang-siang lagi aku meminta izinnya untuk terus melawatnya pada bila-bila masa yang perlu.

Dan hasil pertemuan tersebut, yang paling aku berpuas hati ialah kesanggupan dan kesungguhannya untuk menghantar sms kepada anak bujang aku dengan kata-kata nasihat yang amat berguna kepada anak bujang aku. Aku amat berterima kasih kerana daddy masih dan tetap menerima aku dan keluarga aku.

Telahan aku begitu meleset.


Semoga daddy beroleh kesihatan yang berpanjangan selalu.

Terima kasih daddy! I love you!




Ya Allah! Aku Keliru - Masihkah aku dipersalahkan lagi?

Teman-teman sekelian! Apa khabar anda di kala ini? Apa juga yang anda sedang lakukan dan apa juga yang anda hadapi, aku mendoakan supaya Allah kurniakan yang terbaik untuk anda. Terimalah seadanya dengan penuh rasa syukur!

Blog aku ini akan aku khususkan untuk aku meluahkan dan menzahirkan sedikit dari coretan hidup aku yang sebenarnya untuk dikongsikan dengan teman-teman sebagai selingan, dalam meniti sebuah perjalanan, mencari realiti, menyusuri liku-liku kehidupan, menyesali perbuatan yang silam dan memperbaiki dan mencorakkan semula supaya hidup ini akan lebih bermakna.


Kali ini posting aku masih berkisar kepada kisah dan peristiwa berkaitan dengan bapa angkat aku ini. Sekali lagi aku ini nyatakan di sini, bukan niat aku untuk memperkecilkan sesiapa termasuk bapa angkat aku malah jauh daripada itu, apa yang aku hendak ialah, ambilah iktibar dari apa yang cuba aku paparkan.

Sudah agak lama juga aku tidak berkunjung ke Pasir Tumbuh, Kelantan dalam mana suatu ketika dulu, itulah satu destinasi yang amat aku suka untuk aku kunjungi. Manakan tidaknya, di Pasir Tumbuhlah aku telah merubah wajah kehidupan aku yang sebenarnya. Pasir Tumbuh telah banyak menyedarkan aku bertapa aku selama ini tersasar jauh dalam menikmati hidup sebagai seorang Islam. Kadang-kadang tu, seolah-olah Islam itu hanyalah di bibir mulut sahaja, tidak dizahirkan dengan perbuatan yang sepatutnya.

Di Pasir Tumbuhlah telah mengajar aku bahawa aku telah menjadi insan yang selama ini hidup dalam kerugian. Aku telah gagal untuk menikmati waktu-waktu 2/3 malam hampir di sepanjang penghidupan aku. Aku hanya selama ini pandai bercerita sahaja, namun aku adalah jahil dari segi amalinya. Boleh aku membilang dengan jari, berapa kalikah aku telah bangun bertahajjud di 2/3 malam! Aduh ruginya aku selama ini.

Orang tua inilah yang telah membuatkan aku berubah. Ianya bermula di Pasir Tumbuh seawal malam pertama semenjak aku berada di rumah bapa angkat aku. Bertapa seawal pagi, jam di sekitar pukul 3 pagi, aku mendengar ada suara teresak-esak menangis diselang-seli dengan suara orang bermunajat serta suara orang memuji-muji penciapta Alam ini. Aku seakan tidak percaya pada awalnya. Lantaran itu, aku lebih memasang telinga aku dan yang pastinya, pendengaran ini tidak lagi boleh menipu realiti. Itu adalah suara Hj Abdullah b Anuwar, menangis teresak-esak!

Lantaran itu, aku terus menanyakan diri aku, kalau orang tua itu mampu berdiri di waktu malam yang sebegitu, kenapa tidak aku? Namun, hati ini masih juga keras. Bisikan syaitan lebih menguasai diriku yang jahil ini. Aku tidak tidur, tapi aku tidak juga melakukannya, tidak seperti bapa angkat aku lakukan ini. Aku pun tidak mengerti, kenapa hati aku begitu keras sekali.

Dua 3 hari dan malam telah berlalu. Hati aku meronta-ronta. Aku tidak tahu apa yang didoakan oleh orang tua itu. Hati aku mulai lembut. Aku telah mula meringankan anggota ini untuk turut sama melakukan apa yang dibuat oleh bapa angkat aku ini. Dan malam-malam yang seterusnya, aku pun tanpa leka melakukanya sebagai rutin hidup aku. Dan syukur Alahamdulillah, setelah hampir empat bulan aku berdampingan dengan bapa angkat aku ini, aku masih belum lagi tertinggal untuk bertahajjud walaupun 1 malam. Seolah-olah macam tak percaya! Tiada langsung hari yang tercicir. Aku melakukannya dengan penuh istiqamah. Berkali-kali aku menghantarkan sms kepada bapa akngkat aku ini menyatakan rasa terima kasih aku yang tak terhingga yang kerananya, kerana rumah sewanya dan kerana Pasir Tumbuh, telah benar-benar merubah tata cara kehidupan aku.

Malah bukan sekadar itu sahaja, di Pasir Tumbuh jugalah telah mengajar aku bertapa solat subuh berjemaah itu amat penting dan aku juga telah melakukan solat subuh berjemaah di masjid-masjid di mana jua aku berada tanpa tertinggal. Terasa takut untuk meninggalkan suasana berjemaah.

Pasir Tumbuh juga, di rumah sewa orang tua itu jugalah telah mengajar aku, bertapa membaca Al-Quran itu sesuatu yang dapat menyejukkan hati dan aku juga melakukannya tanpa tertinggal setiap awal pagi. Malahnya juga, di Pasir Tumbuh jugalah telah mengajar aku bertapa ruginya aku kerana telah dengan sengajanya meninggalkan solat sunat dhuha setiap hari tanpa miss.

Aku tidak tahu, dan juga aku tidak pasti, apakah Pasir Tumbuh dengan suasananya yang memang berbeda dengan tempat-tempat yang pernah aku kunjungi ataupun adakah dengan sebab perlakuan bapa angkat aku ini, telah membuatkan aku berubah sedemikian rupa.

Kini, sudah lebih dari 3 bulan aku telah menjarakkan diri aku dari Puchong, dan satu ketika dulu, Pasir tumbuh menjadi tempat idaman aku untuk aku menjadi insan yang lebih baik. Alhamdullilah, mungkin Allah telah memperkenankan doa aku untuk menjadi insan yang istiqamah dalam mengerjakan amal ibadah. Semoga Allah terus menerus memberikan nur kepada aku. Semoga Allah terus menerus memilih aku untuk lebih menjadi insan yang lebih baik dari semalam.



Walau apa pun telahan dan godaan syaitan, hati kecil aku memang berkata, asbabnya ialah bapa angkat aku. Dengannya aku memulakan kembara hidup ini mencari sesuatu yang hakiki. Aku hampir ketemuinya.

Buat bapa angkat aku, walau apa pun telahan, tomahan, marah, dendam dan benci daddy terhadap aku, kesemuanya itu aku tidak peduli lagi. Yang pastinya selain aku besyukur kepada Allah swt, aku semestinya juga berterima kasih kepada insan yang bernama Hj Abdullah b Hj Anuwar yang telah aku terimanya sebagai bapa angkat aku yang tiada tolak bandingnya.

Aku pernah dicercanya, aku pernah ditomahnya dan pelbagai prasangka buruknya terhadap aku, aku terima seadanya. Bagi aku, itu hanyalah mehnah seorang bapa. Aku tidak ambil peduli langsung. Malah sayang aku pada orang tua ini kian bertambah. Aku juga hampir pasti, walau bermacam tuduhan dilemparkan terhadap aku, dia masih tetap menerima aku dan keluarga aku. Marahnya marah yang sementara, marah kerana mahu melempiaskan perasaan. Aku cukup memahaminya sekarang. Aku berani mengatakan yang tidak ada seorang pun yang mengenalinya sedekat mana yang aku mengetahuinya.

Biarlah aku simpan segala macam sejarah kehidupannya. Tidak akan ku kongsikan dengan sesiapa. Sampai mati aku aku peramkan. Itu adalah janji aku dalam menghormati erti persahabatan, erti sebagai seorang anak angkat yang pernah kami lafazkan bersama-sama. Baik buruknya hanya aku seorang saja mengetahui. InysaAllah.



Ikhlaskan Diri Ketika Beramal

Kembaranya dia membawa diri dari Puchong ke Kelantan. Perkhabaran untuk menghijrahkan diri dibuat dalam keadaan yang bagi aku agak tergesa-gesa. Namun itu adalah pilihannya. Sebelum ini pernah juga dia memberitahu aku untuk menyewakan kedai runcit kepunyaanyna kepada beberapa teman. Aku tidak banyak menyampuk, kerana aku faham juga kerenah orang tua ni. Malahan aku banyak mengiakan dari memberi sebarang pendapat. Lagipun aku bukanlah mahir sangat dalam bidang peruncitan ini.

Dia memilih Pasir Tumbuh sebagai destinasi pilihannya untuk mengislahkan diri dia dari begitu ramai kawan-kawan dan kenalannya di Puchong. Mungkin Pasir Tumbuh juga merupakan antara beberapa sistem fondok yang terbaik.

Pada peringkat awal pemindahannya, aku sering juga membawa keluarga aku untuk sesekali menginap di rumah beliau. Dia juga yang mempelawa aku dan keluarga aku. Kebetulan juga, aku sendiri memang agak dangkal dengan suasana negeri Kelantan.

Berkali-kali beliau berpesan kepada aku untuk tidak mahu sesiapa pun yang mengganggu tumpuannya untuk belajar tentang pengajian Islam. Aku sendiri melihatnya begitu ghairah membeli kitab-kitab. Pelbagai. Macam2. Dalam hatiku, aku berkata, memang sah orang tua ini hendak mencari ilmu dan beramal. Tetapi, kekadang pelik juga aku, pada hal, kitab-kitab pengajian agama Islam begitu banyak ditinggalkan di rumah aku. Tetapi ditambah-tambahnya lagi koleksi kitab.

Pernah aku lihat, orang tua ini mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri memilih guru, masa dan lokasi yang terbaik. Aku kurang pasti apakah beliau sanggup untuk menghabiskan masa berkejaran dari satu tempat ke satu tempat? Pernah aku membisikkan kepadanya supaya tidak perlu memilih terlalu banyak tempat untuk berguru dan berilmu. Apa yang penting ialah untuk beramal dengan ilmu yang ada, itupun mencukupi. Namun aku faham, orang tua ini bukan mudah untuk dipaksa menerima telahan dan saranan seseorang. Aku tak kesah pun, sekadar memberi pandangan.

Hari demi hari, minggu berganti minggu. Aku telah diberitahu olehnya yang beliau telah bercuti sementara belajar di fondok. Katanya pada aku, tak ada bezanya belajar pondok di Kelantan dengan apa yang diajar di masjid-masjid di Selangor terutamanya di Puchong. Maka dengan alasan itu, beliau "memaksa"kan nya untuk bercuti sekejap. Maka beliau bercadang untuk mengecat masjid secara keseluruhannya. Katanya beliau akan membuat pembiyaan dan sekiranya ada orang lain ingin masuk campur beliau akan menarik diri.

Aku tidak berkata apa-apa. Namun memang beliau mengecat masjid tersebut. Sungguh tawddhu' orang tua ini. Tiap-tiap hari dia mengecat. Hampir sebulan juga hatta pada hari terakhir aku di Pasir Tumboh, orang tua ini masih mengecat. Sampai bertompok-tompok kesan cat pada baju. Begitu beristiqamah sekali. Bagus sungguh dan luhur sungguh. Hatta aku kadang-kadang melihat beliau amat kepenatan dan selalu tidur awal, seawal pulang dari menunaikan fardhu Isya'.

Beliau tetap seperti biasa bangun seawal pagi (tapi tidak seawal waktu mula-mula dia sampai di Pasir Tumbuh - pukul 4 pagi dah mula tahajjudnya). Tapi agak kepenatan punya pasal, beliau sedikit terbabas dalam bertahajjud. Tapi beliau tetap melakukannya tanpa miss. Namun beliau telah mula menampakkan perbezaan. Kalu dulu2 aku sering mendengar beliau membaca ayat-ayat suci Al-Quran seawal pagi, tapi tidak lagi demikian. Aku melihatnya sudah agak hilang fokus, terumbang-ambing, kurang pasti yang mana satu kah untuk didahulukannya.

Aku sekarang juga sudah semakin buntu memikirkan apakah agaknya kesudahan nanti. Ingin sesekali aku mencelah untuk berkongsi idea, namum aku agak khuatir kalau-kalau aku diherdiknya lagi. Aku lebih besifat mendiamkan diri dari membicarakan apakah hala tujunya. Sungguh aku kurang pasti.

Aku hanya mampu berdoa agar Allah memberikan petunjuk dan hidayah agar beliau betul-betul istiqamah dalam menentukan matlamat asal kedatangnya ke Pasir Tumbuh itu terhasil (Tapi tidaklah aku kurang yakin bahawa beliau juga masih mempunyai agenda lain selain dari untuk memperkasakan dirinya dengan ilmu-ilmu Islam)

Memang sesuatu yang agak biasa. Lagi pun beliau sudah lama dan beberapa kali cuba untuk mendekati sistem pembelajaran fondok.

Semoga daddy aku ini tabah. insyaALlah